Wednesday 4 July 2012

Hiasan Dalaman


Apa itu Hiasan Dalaman

Setiap individu mementingkan keselesaan dalam setiap aspek kehidupan.  Setelah seharian bertungkus lumus bekerja, pulang ke rumah yang cantik, bersih dan kemas dapat memberi sedikit ketenangan pada jiwa setiap individu. Maka lahirlah kata-kata Rumahku Syurgaku, "Home Sweet Home" dan lain-lain yang menggambarkan ruang yang selesa perlu dalam kehidupan. Blog ini akan mencuba sebaik mungkin untuk menolong pembaca-pembaca yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang seni Hiasan Dalaman.





Secara ringkas, Hiasan Dalaman bermaksud seni dalam menghias dan menyusun bahagian dalaman sesuatu ruang untuk menjadikannya lebih selesa dan sesuai dengan citarasa juga keperluan individu yang menjadi pemiliknya. Hiasan Dalaman boleh dikategorikan kepada dua bahagian iaitu :

1. Ruang Kediaman - meliputi ruang seperti ruang tamu, ruang makan, ruang kerja/bilik
    bacaan, bilik tidur, ruang dapur, bilik air dan anjung rumah


2. Ruang Awam dan Komersil - ruang pejabat, restoran, bank, bilik pameran dan lain-lain


Aspek Asas Dalam Hiasan Dalaman


a) Ruang – dapat dilihat dari aspek bentuk dan saiz, ruang perlu disesuaikan dengan
penggunaannya untuk kelihatan lebih luas, ceria dan selesa. Hiasan Dalaman yang baik
dapat membuat sesuatu ruang kelihatan lebih besar dari saiznya.


b) Peredaran udara – amat penting untuk menjamin keselesaan dan kesihatan penghuninya.
Arah pergerakan angin dan udara harus diketahui. Penggunaan kipas dan penyaman udara
dapat membantu peredaran udara.


c) Pengcahayaan – ia dapat menimbulkan suasana yang ceria, tenang dang romantik. Tingkap dan pintu antara elemen penting dalam pengcahayan. Pengcahayaan dapat ditentukan oleh kedudukan dan saiz pintu atau tingkap, lampu dan penggunaan cermin.


d) Warna – merupakan unsur penting dalam kehidupan. Warna boleh menimbulkan kesan harmoni dan ceria. Warna sejuk menimbulkan ketenangan serta luas manakala warna panas menghasilkan keceriaan. Warna gelap akan menjadikan ruang kelihatan sempit. Warna yang kontra pada lantai dan dinding boleh menonjolkan bahagian-bahagian tertentu dalam sesebuah bilik


e) Perabot – susun atur dan saiz perabot dapat mempengaruhi keluasan sesuatu ruang. Pemilihan perabot penting dalam menentukan tema sesuatu ruang seperti gaya Inggeris, Melayu, Kontemporari dan sebagainya.

Beberapa perkara perlu diambil kira sebelum membuat kerja-kerja Hiasan Dalaman, antaranya :

1. Fungsi Ruang
2. Saiz dan Bentuk
3. Lokasi



Proses dalam kerja-kerja Hiasan Dalaman :


1. Menentukan tema dan tajuk, pada tahap ini seseorang pereka harus tahu apa tema yang akan digunapakai sepanjang proses melakukan kerja-kerja Hiasan Dalaman. 


2. Mengenal pasti masalah yang akan dihadapi dan apa yang perlu dilakukan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Contoh keperluan untuk merobohkan dinding atau mengubah ketinggian lantai.


3. Mengumpul maklumat tentang Ruang yang akan diubahsuai dari pelbagai sumber dan membuat kajian serta lakaran barangan yang akan dicipta. Maklumat yang diperlukan merangkumi saiz ruang, jenis ruang samaada bilik tidur, dapur atau ruang tamu, siapa pengguna samaada kanak-kanak atau orang dewasa serta jumlah pengguna di satu-satu ruang. Ini untuk menentukan jenis perabot dan kemasan yang sesuai.


4. Pada tahap ini idea akan dikembangkan dalam bentuk lakaran 2 dimensi seperti pelan atau keratan rentas juga lukisan 3 dimensi (perpekstif) sebelum membuat persembahan kepada individu berkenaan. Biasanya proses akan berulang dua atau tiga kali sebelum sesuatu idea dipersetujui bersama.


5. Ada sesetengah pereka akan menghasilkan prototaip atau model untuk memberi lebih penerangan tentang idea yang diusulkan.







No comments:

Post a Comment